Pengenalan
Zaman Neolitik juga dikenali sebagai Zaman Batu Baru.
Zaman ini dianggarkan berlangsung di seluruh dunia di antara 5,000 SM sehingga
3,000 SM. Tamadun awal manusia dikatakan bermula pada akhir Zaman Neolitik ini.
Daripada pelbagai bidang, Zaman Neolitik telah menunjukkan perubahan yang amat
besar. Contoh petempatan orang Neolitik ialah Lembah Indus, Lembah Hwang-Ho,
Lembangan Sungai Eupharates dan Tigris dan sebagainya.
Ciri-ciri :
Tempat Tinggal
Manusia Neolitik tinggal di rumah yang dibina oleh diri
sendiri. Rumah mereka dibuat daripada batu-bata, kayu dan sebagainya. Bukti
yang menunjukkan manusia Neolitik tinggal di rumah ialah penemuan tiang-tiang
kayu yang ditinggalkan oleh orang zaman ini di Switzerland. Tiang-tiang ini
telah ternampak apabila air tasik besar ini menjadi tohor. Setelah dikaji,
didapati rumah ini disambungkan antara satu sama lain dan tebing tasik dengan
titi-titi yang boleh diangkat pada waktu malam untuk menjaga keselamatan.
Cara Hidup
Orang Neolitik hidup secara tetap di rumah yang
didirikan. Kini, cara hidup mereka juga lebih teratur. Rumah-rumah dibina untuk
membentuk sebuah kampung. Kampung ini biasanya terletak di tepi sungai atau
laut. Setiap kampung mempunyai seorang ketua yang akan menyelesaikan sebarang
pertikaian yang berkaitan dengan pertanian dan hak milik tanah. Benteng dibina
untuk melindungi kampung itu daripada serangan musuh atau binatang liar. Faktor
utama yang mendorong orang Neolitik hidup secara tetap ialah mereka perlu
menjaga tanaman dan binatang ternakan mereka daripada dimusnah oleh binatang
dan serangga perosak.
Kegiatan Harian
Masyarakat Neolitik mencapai perkembangan dalam bidang
pertanian yang mengagumkan. Kini mereka menjadi petani dengan menanam
sayur-sayuran dan bijirin seperti barli, jagung dan gandum. Selain itu, mereka
juga menternak binatang seperti kambing, lembu dan memelihara anjing. Selain
daripada bercucuk tanam dan menternak binatang, masyarakat ini juga terus
memburu, menangkap ikan dan memungut hasil hutan. Tujuan mereka melakukan
kegiatan ini ialah untuk mendapatkan bekalan makanan tambahan. Selain itu,
masyarakat ini juga mula menghasilkan alat tenunan, kain dan tembikar.
Peralatan
Orang Neolitik telah mencipta alat-alat yang lebih elok
dan halus seperti kapak, beliung dan pisau daripada batu dan juga logam untuk
memburu, memotong dan bercucuk tanam. Selain itu, teknologi baru dalam bidang
pertanian seperti bajak, tajak atau cangkul juga diperbuat daripada granit juga
dicipta. Penggunaan peralatan yang disebutkan di atas telah membantu masyarakat
ini menghasilkan pelbagai jenis tanaman. Orang Neolitik juga pandai menganyam
bakul. Bakul yang dianyum ini digunakan untuk menyimpan bijirin, mengangkap
ikan dan memburu binatang. Selain itu, masyarakat Neolitik juga pandai membuat
alat tembikar daripada tanih yang dikeringkan. Alat tembikar ini digunakan
untuk memasak, mengisi makanan dan menyimpan air. Hasil tembikar ini menjadi
lebih bermutu apabila roda ceper digunakan.
Kepercayaan
Masyarakat primitif ini mengamalkan kepercayaan animisme,
iaitu percaya bahawa semua benda di alam ini mempunyai roh. Selain itu, mereka
juga percaya bahawa semangat atau tuhan mengawal alam semesta. Sebab itulah
mereka cuba memuja semangat yang mengawal alam semesta seperti banjir dan
kemarau yang dianggap pemusnah pertanian. Masyarakat Neolitik juga mengamalkan
adat dan upacara yang lebih maju dripada masyarakat sebelum ini. Contohnya,
upacara pengebumian dan sebagainya.
Pakaian
Masyarakat Neolitik mula menenun kain daripada bulu
binatang dan gentian-gentian tumbuhan dengan menggunakan alat tenunan. Kini,
mereke telah mula berpakaian kain dan jarang sekali mereka berpakaian kulit
binatang. Mereka mendapati pakaian yang dibuat daripada kain adalah lebih
selesa jika dipakai. Selain itu, berpakaian kain juga dapat menunjukkan bahawa
mereka ini lebih tinggi tamadunnya kalau dibandingkan dengan orang yang
berpakaian kulit binatang.
Aktiviti Perdagangan
Sejak Zaman Neolitik, aktiviti perdagangan telahpun mula
dijalankan. Perdagangan dijalankan di antara kampung-kampung. Mereka saling
menukar barang yang dikehendaki. Sistem tukar barang dikenali sebagai sistem
barter. Selain perdagangan antara kampung dijalankan, mereka juga menjalankan
aktiviti perdagangan dengan masyarakat yang berhampiran. Pada zaman ini, wang
memang langsung tidak digunakan. Sistem yang diamalkan juga menemui pelbagai
masalah, contohnya, kehendak yang serentak sukar dicapai di antara satu sama
lain, unit ukuran atau kadar pertukaran sukar ditentukan dan sebagainya.
Organisasi Sosial
Organisasi sosial dalam bentuk kekeluargaan telahpun
wujud pada zaman ini. Setiap keluarga mempunyai seorang ketua yang akan
memimpin keluarga ini untuk melakukan aktiviti harian. Daripada kumpulan ketua
keluarga ini, seorang akan dipilih untuk memimpin kampung ini. Tanggungjawabnya
adalah menyelesaikan pertikaian di antara penduduk kampung dalam pelbagai
perkara. Beliau juga dikenali sebagai ketua kampung.
Teknologi Baru
Zaman Neolitik telah mencapai perkembangan yang amat
pesat dalam bidang infrastruktur. Pada zaman ini, roda buat pertama kali
digunakan. Roda telah dicipta untuk menjadikan sistem perhubungan yang lebih
cepat. Sebagai contoh, roda dipasang di kereta kuda membolehkan kereta kuda
berjalan dengan lebih cepat. Selain ciptaan roda, kapal layar juga telah
diciptakan. Ciptaan kapal layar membolehkan mereka berhubung antara satu sama
lain dengan mudah walaupun dipisah oleh lautan yang luas. Bukti penggunaan
kapal layar ialah perjumpaan pelabuhan awal seperti Santubong dan Kuala
Selinsing.